Posted by: radiah | May 15, 2008

Short sem…

Salam ukhwah kepada sesiapa saja yang masuk ke blog saya ini. Pertama sekali ingin saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Puan Rosseni yang banyak memberi galakan kepada saya dan rakan2 satu kuliah untuk mencipta blog tersendiri. Pada mulanya saya tidak tahu apa yang harus saya coretkan. Walaupun apa yang terdapat dalam blog ini kurang bertepatan dengan subjek Kemahiran Berfikir, namun saya berpeluang untuk mencoret sedikit sebanyak perkara yang berlaku dalam hidup saya kat U ni… Sekali lagi saya akan cuba setakat yang termampu untuk meneruskan blog ni walaupun xde pemantauan dari Puan Rosseni atau sesiapa..Saya seronok membuatnya walaupun saya xdelah kreatif dalam wat blog ni. Akhir kalam buat sahabat sekuliah, semoga dapat buat blog yang terbaik…semoga kita semua mendapat keputusan yang cemerlang dalam final exm lepas. Tak lupa juga selamat bercuti. Kepada sesiapa yang amik sem tiga, xdelah nak cuti ye…

Terima kasih kepada semua….

Wassalam. 

Advertisements
Posted by: radiah | May 15, 2008

Nasihat Imam Syafie Dalam Mencari Sahabat

PERSAHABATAN tulen memang sukar dicari. Hanya mereka yang benar-benar
bersahabat dengan hati tulus dan ikhlas dapat mencari erti persahabatan
tulen.

Dalam hal ini, Iman Syafie ada memberikan nasihat dalam soal
persahabatan.

Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku
mencintai sanak saudaraku.

Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga
nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik
dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan
selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan
berasa senang. Semakin ramai aku peroleh sahabat, aku semakin percaya
diri.

Mencari sahabat pada waktu susah.

Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam
duka. Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka.

Jika suka melanda, aku sering bertanya: “Siapakah yang sudi menjadi
sahabatku?”
Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, namun bila
giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan.

Pasang surut persahabatan.

Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang
baik.

Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya roda
zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan.

Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku
sakit, tidak seorang pun yang menjengukku.

Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku
berselimut derita mereka bersorak sorai.

Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat.

Apabila tidak ke temu sahabat yang takwa, lebih baik aku hidup
menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat.

Sukarnya mencari sahabat sejati.

Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Bersikap
seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia.

Cucilah kedua-dua tanganmu dari zaman itu dan daripada manusianya.
Peliharalah cintamu terhadap mereka. Maka, kelak kamu akan memperoleh
kebaikannya.

Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia
ini sahabat yang sejati.

Kutinggalkan orang bodoh kerana banyak kejelekannya dan kujanji orang
mulia kerana kebaikannya sedikit.

Sahabat sejati pada waktu susah.

Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh
daripada sebagai kawan.

Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang
menolong ketika susah.

Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati
hingga pencarianku melenakanku. Kukunjungi seribu negara, namun tidak
satu negara pun yang penduduknya berhati manusia.

Rosaknya keperibadian seseorang.

Dalam diri manusia itu ada dua macam potensi penipuan dan rayuan.

Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang.
Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api
yang dapat membakar duri itu.

Menghormati orang lain.

Barang siapa menghormati orang lain, tentulah dia akan dihormati.
Begitu juga barang siapa menghina orang lain, tentulah dia akan dihinakan.

Barang siapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala.
Begitu juga barang siapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang
dahsyat.

Menghadapi musuh.

Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega,
jiwaku bebas daripada bara permusuhan.

Ketika musuhku berada di hadapanku, aku sentiasa menghormatinya.

Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan.

Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang
yang kubenci, seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai.

Tipu daya manusia.

Mudah-mudahan anjing itu dapat bersahabat denganku kerana bagiku dunia
ini sudah hampa daripada manusia.

Sehina-hinanya anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk tuannya
yang tersesat, tidak seperti manusia jahat yang selamanya tidak akan
memberi petunjuk.

Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, tentu kamu akan bahagia
walaupun kamu terpaksa hidup sendiri.

Tempat menggantungkan harapan.

Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang yang mulia, maka dekatilah
orang yang sedang membangun rumah untuk Allah.

Hanya orang yang berjiwa mulia yang dapat menjaga nama baik dirinya dan
selalu menghormati tamunya, baik ketika hidup mahu pun setelah mati.

Menjaga nama baik.

Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan
terpaksa, maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan
kepadanya.

Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya
bererti istirahat.

Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya
usaha yang keras.

Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu
kadang kala dibalas dengan sikap tidak sopan.

Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, maka tidak ada gunanya
cinta yang dibuat-buat.

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan
cinta setelah dicintai.

Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan
menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia

 

Posted by: radiah | May 15, 2008

WAHAI HAWA

Wahai Hawa, Kenapa..

engkau tak menghargai nikmat Iman dan Islam itu? Kenapa.. mesti engkau kaku dalam mentaati ajaran-Nya? kenapa.. masih segan mengamalkan isi kandungan-nya ? dan kenapa.. masih was-was dalam mematuhi perintah-Nya?

 

Wahai Hawa, Sedarlah..

Tangan yang mengoncang buaian.. boleh mengoncang dunia, Sedarlah hawa.. kau boleh mengoncang dunia dengan melahirkan manusia yang hebat!! yakni yang Soleh dan Solehah, kau boleh menggegar dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan Islam di mata dunia.

 

Tapi hawa..

jangan sesekali kau cuba menggoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu, dengan lengguk tubuhmu. Jangan kau menghentak-hentak kakimu untuk menyatakan kehadiranmu. Jangan Hawa, jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum Adam yang bukan suamimu.. kerana aku khuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian ALLAH. BAHANA!

 

Ia bisa memberi kegembiraan pada syaitan.. kerana wanita ialah jala syaitan, alat yang di eksploitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan kaum Adam. Hawa, Andai engkau masih remaja.. jadilah anak yang Solehah buat kedua ibu bapamu, andai engkau sudah bersuami.. jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau seorang ibu.. didiklah anakmu sehingga ia tak gentar memperjuangkan Ad-din ALLAH.

 

Hawa,

Andai engkau belum berkahwin, jangan kau risau akan jodohmu, ingatlah hawa janji TUHAN kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan menggadaikan maruahmu.. hanya semata-mata kerana seorang lelaki, jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu hanya untuk menarik perhatian dan memikat kaum lelaki, kerana kau bukan memancing hatinya.. tapi merangsang nafsunya.

 

Wahai Hawa,

Jangan sesekali dikau mulakan pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata turun ke hati, dari senyuman membawa ke salam, dari salam cenderung kepada pertemuan dan dari pertemuaan… takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

 

Hawa,

Lelaki yang Baik tidak melihat paras rupa, Lelaki yang Soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya, Lelaki yang Warak tidak menilai wanita melalui keayuaannya, kemanjaannya serta kemampuannya menggoncang iman mereka.

 

Tetapi hawa,

Lelaki yang Baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya dan ad-dinnya… Lelaki yang Soleh tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut menberi kesempatan pada syaitan untuk mengodanya. Lelaki yang Warak juga tak mahu bermain cinta sebabnya dia tahu apa matlamat dalam sebuah hubungan antara lelaki dan wanita yakni perkahwinan. Oleh itu Hawa, Jagalah pandanganmu, jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu…

 

Andai kata ditakdirkan tiada cinta dari Adam untukmu, cukuplah hanya cinta ALLAH menyinari dan memenuhi jiwamu, biarlah hanya cinta kedua ibu bapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik beradik serta keluarga yang akan membahagiakan dirimu. Hawa, Cintailah ALLAH.. dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta dari insan yang juga menyintai ALLAH. Cintailah kedua ibu bapamu.. kerana kau akan perolehi keredhaan ALLAH. Cintailah keluargamu.. kerana tiada cinta selain cinta keluarga.

 

Hawa ,

Ingatanku yang terakhir, biarlah tangan yang menggoncang buaian ini dapat menggoncang dunia dalam mencapai keredhaan ILAHI. Jangan sesekali.. tangan ini juga yang menggoncang keimanan kaum Adam, kerana aku sukar menerimanya dan aku benci mendengarnya.

 

 

“Dunia adalah perhiasan & sebaik-baik perhiasan adalah Wanita Solehah” (Hadith Riwayat Muslim).

 

Posted by: radiah | March 2, 2008

Perjuangan Hidup Mesti Diteruskan

Setiap orang tidak lari dari ditimpa pelbagai cubaan dan masalah. Adakalanya kita tersungkur dan tidak tahu ke mana arah pergantungan kita. Sebenarnya setiap masalah yang kita hadapi ada jalan penyelesaianya. Mungkin kita terlepas pandang bagaimana cara yang terbaik untuk menyelesaikan setiap masalah yang kita hadapi. Ingatlah Allah tidak membebani seseorang melainkan mengikut kemampuannya. Once kita rasa lemah, ingatlah kepada Al Khaliq kerana dialah yang memberi kekuatan kepada kita. Mohonlah petunjuk dari Allah supaya dipermudahkan segala urusan kita. Setiap apa yang kita lakukan, ikhlaskan niat kerana-Nya, moga kita mendapat keberkatan atas apa yang kita kerjakan. Tidak kira dalam situasi apapun kita berada, ingatlah Dia yang selalu melihat kita. Janganlah kita berburuk sangka terhadap Allah atas cubaan yang kita hadapi. Setiap insan dikurniakan kelebihan dan juga kekurangan. Gunakanlah kesempatan yang kita miliki ini untuk mengumpul sebanyak-banyaknya bekalan untuk menuju hari yang amat dahsyat perhitungannya. Jadikanlah Al-Quran sebagai petunjuk kita sentiasa. Moga-moga kita mendapat sedikit kekuatan untuk teruskan perjuangan kita tidak kira dalam bidang apa pun yang kita ceburi. “Sesiapa yang menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan meneguhkan kedudukannya” (AL-Quran:Surah Muhammad,ayat 7). Semoga coretan yang sedikit ini menjadi renungan untuk kita semua. Salam ukwah fillah. Wassalam.. 

Posted by: radiah | March 2, 2008

Kecintaan dan ukhwah

Saya mendapat satu mesej dari seorang kawan yang agak rapat dengan saya untuk berjumpa di PTSL pd tengahari itu (dah lupa tarikhnye). Ada hal mustahak katanya. Katanya lagi, dia x tahu pd siapa mahu minta tolong selain saya dalam masalahnya itu. Tanpa byk soal saya terus berjumpa dengannya di bahagian koleksi Islam. Dari riak wajah di kejauhan saya dapat menduga ada sesuatu yang menjadi permasalahannya. Dia seorang yang sangat tenang, tidak terburu2 dan bersikap terbuka. Saya senang berkawan dengannya kerana dia sentiasa menyelitkan kata2 nasihat yang amat berguna buat saya. Gaya percakapannya amat menarik perhatian, tambahan pula dia pelajar komunikasi dan dasar awam.he he…Namun tak siapa tahu wajah yang tenang tidak punya masalah. Pada awalnya dia memulakan pertemuan seperti biasa. Tiada hal yang menarik yang diperkatakan, cuma bertanya tentang pelajaran dan sebagainya. Setelah itu, dia menceritakan satu masalah yang mengganggu di fikirannya di waktu itu. Saya menjadi pendengar yang setia, mencelah di mana patut. Namun tiba di satu saat saya terkedu mendengar apa yang dialaminya. Saya tidak mahu menceritakan apakah masalah yang mengganggu fikirannya, biarlah ia menjadi rahsia antara kami. Saya sangat kagum akan ketabahannya menghadapi semua itu. Saya berasa sangat terpanggil untuk menolongnya kerana saya yakin mungkin inilah salah satu cara saya dapat membuktikan kecintaan dalam berukhwah kepada sahabat yang saya kasihi. Benarlah sabda Rasulullah: “Seseorang di antara kalian tidak (dikatakan) beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri”. (HR Bukhari & Muslim). Semasa mendengar masalahnya, saya yang lebih banyak menangis, dia hanya tenang tanpa genangan air mata pun di kelopak matanya. Ya Allah, betapa Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah bertemu untuk mencurahkan mahabbah kepadamu maka eratkanlah ikatan ukhwah ini hingga ke akhirnya, ya Allah. Hari itu, saya dapat merasakan betapa inilah nikmat ukhwah yang besar sekiranya kita benar2 bersahabat untuk menggapai redha-Nya. Saya merasa sangat tersentuh dengan pengorbanan yang terpaksa dilakukan olehnya, namun semangatnya tidak pernah luntur dalam setiap gerak kerjanya. Dia menyatakan ini adalah ujian Allah kepadanya dan sesungguhnya Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya ( Quran, al Baqarah-286). Memang benar apa yang diucapkannya…sesungguhnya setiap masalah dan nikmat yang kita dapat adalah merupakan ujian daripada Allah. Justeru, bagi saya kehidupan ini penuh dengan warna-warni yang mencorakkan ke arah mana tujuan hidup kita dan sejauh mana kita yakin dengan rahmat dan kasih sayang Allah kepada kita. Di sinilah kita mesti meletakkan pengharapan yang tinggi kepada Pencipta kita supaya sentiasa menjaga kita walau di mana sahaja kita berada. Dalam satu hadis Rasulullah saw bersabda:” Jagalah Allah, niscaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, niscaya Dia akan sentiasa bersamamu. Bila engkau meminta sesuatu, mintalah kepada Allah, dan bila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah jika semua umat manusia bersatu padu untuk memberikan suatu kebaikan kepadamu, niscaya mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu. Dan jika semua umat manusia bersatu padu untuk mencelakakanmu, niscaya mereka tidak dapat mencelakakanmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu. Pena telah diangkat dan catatan-catatan telah mengering”. (HR Tirmizi-dia berkata hadis ini hasan sahih). Sekian, moga kita sama2 merenung akan nikmat tarbiyah dari Allah dalam hidup kita….      

 

 

 

Categories